Wednesday, August 6, 2008

Program Anak Solehah


Tarikh : 10/8/08
Masa : 9 pagi - 6 petang
Sasaran : Pelajar-pelajar perempuan
Tempat : Surau al-Falah, Kg Melayu Batu 8, Hulu Kinta, Perak.
Anjuran : Jawatankuasa Surau al-Falah

Maklumat lanjut sila hubungi:
014 8402298
019 4194029

Saturday, July 19, 2008

Kelebihan amalan qiamullail

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: SAYA ada beberapa kali menghadiri program qiamullail yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu. Saya harap dapat ustaz jelaskan apa yang dimaksudkan dengan tahajud dan qiamullail. Setakat mana seseorang itu perlu melakukan qiamullail menurut ajaran Islam? - MAJALINA, Simpang Pertang.

JAWAPAN: Dalam maksud mudah, qiamullail bererti menghidupkan malam dengan beribadah. Dalam bahasa Arab al-mutahajjid bererti orang yang berdiri mendirikan sembahyang setelah bangkit daripada tidur.

Sembahyang tahajud adalah sunat muakkadah, iaitu sunat yang dituntut, yang jelas hukumnya seperti yang disebut di dalam al-Quran, sunah dan ijmak ulama. Keterangan tentang bertahajud ini dijelaskan oleh al-Quran seperti yang disebut dalam surah al-Furqan: 64, az-Zariyat: 17-18, as-Sajadah: 16-17 dan Ali-Imran: 113.

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa orang yang beribadah pada waktu malam itu sebagai orang yang arif lagi berilmu, takut kepada azab akhirat dan mengharapkan rahmat-Nya.
Keterangan ini disebut dalam surah az-Zumar: 9 yang bermaksud: Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung, atau orang yang beribadah di waktu-waktu malam dengan bersujud dan berdiri, sedangkan ia takut kepada azab akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya. Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.

Lantaran kerana ibadah malam itu amat besar manfaatnya dan memberi kesan yang baik untuk pembentukan peribadi seseorang, Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi s.a.w. (al-Muzammil: 1-4): Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah untuk sembahyang di malam hari, kecuali sedikit, seperdua atau kurangilah daripada seperdua itu sedikit, atau pun lebih daripada satu perdua. Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.

Rasullah s.a.w. seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. baginda bersabda: Puasa yang lebih utama selepas puasa Ramadan ialah puasa bulan Allah Muharam, manakala sembahyang yang lebih utama selepas sembahyang fardu itu ialah sembahyang malam.

Beribadah di waktu malam atau pun qiamullail mempunyai kelebihan yang amat besar, berdasarkan keterangan berikut:

1. Baginda s.a.w. amat mengambil berat ibadah pada waktu malam ini sehingga pecah kedua-dua tapak kakinya. Menurut sebuah hadis daripada Aishah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. beribadah pada waktu malam sehingga pecah kedua-dua telapak kakinya. Ketika ditanya kenapa baginda berbuat demikian, padahal Allah telah mengampunkan dosanya yang telah lalu juga yang akan datang, baginda menjawab: Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang bersyukur - Muttafaq alaih.

2. Amalan utama untuk masuk syurga. Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Salam r.a. beliau berkata: Ketika Rasullah s.a.w. datang ke Madinah, orang ramai mengerumuninya dan berteriak, Rasulullah telah tiba. Aku datang bersama orang ramai untuk mengalu-alukan kedatangan baginda. Tatkala menatap wajahnya, aku mengetahui sesungguhnya wajahnya bukan wajah penipu. Perkataan pertama yang aku dengar daripadanya ialah: Wahai orang ramai, berilah salam, beri makan dan hubungkan silaturahim dan sembahyanglah malam ketika orang ramai tidur, kamu akan masuk syurga dengan selamat.

3. Qiamullail adalah di antara amalan untuk meningkatkan darjat seseorang di syurga. Baginda s.a.w. bersabda mengenainya: Sesungguhnya di syurga itu ada bilik-bilik yang dapat dilihat luarnya dari dalam, dan bahagian dalamnya dari luar. Allah s.w.t. menyediakan akan dia bagi orang yang memberi makan, berlembut lidah, menyambung puasa fardu dengan sunat, mengucap salam, juga mereka yang sembahyang pada waktu malam, ketika orang ramai tidur - Riwayat Ahmad, Ibn Habban, Tarmizi.

4. Orang yang beribadah pada waktu malam berhak mendapat rahmat Allah, juga syurga-Nya (az-Zariyat: 17-18).

5. Allah s.w.t. memuji hamba-Nya yang beribadah pada waktu malam dan berhak mendapat rahmat Allah, juga syurga-Nya (al-Furqan: 64), tanda-tanda kesempurnaan iman seorang hamba (as-Sajdah: 15-17), dan terdapat perbezaan di antara mereka yang beribadah pada waktu malam dengan hamba yang tidak berbuat demikian (az-Zumar: 9).

6. Menghapus dosa-dosa dan mencegah diri seseorang daripada melakukan dosa. Menurut sebuah hadis daripada Abi Umamah r.a. daripada Rasulullah s.a.w., baginda ada bersabda: Hendaklah kamu beribadah pada waktu malam, kerana ia adalah amalan orang yang soleh sebelum kamu, ia adalah satu cara menghampirkan

diri kepada Allah, menghapus dosa-dosa dan mencegah daripada kejahatan - Tarmizi, Hakim, Baihaqi.

7. Allah s.w.t. memberi ganjaran yang banyak kepada mereka yang membaca al-Quran ketika melakukan amalan qiamullail. Menurut sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa beribadah pada waktu malam dengan membaca sepuluh ayat al-Quran, ia akan terpelihara daripada lalai. Dan barang siapa membaca seratus ayat ia akan termasuk dalam golongan orang yang sentiasa taat, dan barang siapa membaca seribu ayat, ia termasuk dalam golongan mereka yang mendapat ganjaran yang banyak - Riwayat Abu Daud.

Waktu yang paling afdal ialah pada satu pertiga daripada malam terakhir, walaupun demikian ibadah ini boleh dilakukan pada awal malam, pertengahan atau pada akhirnya. Yang dimaksudkan dengan satu pertiga malam terakhir itu ialah lebih kurang selepas pukul tiga pagi, hal demikian memperlihatkan bahawa amalan ini boleh dilakukan dengan mudah.

Hadis daripada Umar bin Abasah r.a. menjelaskan bahawa beliau pernah mendengar baginda s.a.w. bersabda: Seorang hamba itu lebih hampir kepada Tuhannya ialah pada malam yang terakhir, andainya anda berupaya termasuk dalam golongan orang yang mengingati Allah pada saat itu, maka lakukanlah - Hadis riwayat at-Tarmizi.

Tidak ada bilangan khusus bagi sembahyang malam. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sembahyang malam itu ada dua rakaat, maka apabila salah seorang daripada kamu takutkan subuh telah tiba, dia hendaklah sembahyang satu rakaat, dengan niat witir apa yang telah ia sembahyang - Muttafaq alaih.

Walaupun demikian adalah lebih afdal andainya ditentukan kepada sebelas rakaat, atau tiga belas, seperti apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai yang dijelaskan oleh satu hadis daripada Aishah. Beliau berkata, Rasulullah s.a.w. sembahyang antara selepas menunaikan sembahyang isyak sehingga fajar sebanyak sebelas rakaat, dengan memberi salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan witir satu rakaat - Riwayat Muslim.

Di antara adab ibadah di waktu malam:

1. Berniat untuk mendirikan qiamullail (ibadah malam) ketika hendak tidur, niat kerana Allah s.w.t. dan bertakwa agar memperoleh pahala tidur. Menurut sebuah hadis daripada Aishah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Tidak ada seorang pun yang berniat untuk sembahyang malam, lalu ia tertidur, kecuali Allah mencatatkan baginya pahala sembahyang. Tidurnya itu merupakan sedekah baginya - Riwayat an-Nasaiy.

2. Ketika terjaga hendaklah menyebut nama Allah - Lailahaillallah wahdahu la syarika lah, lahulmulk wa lahulhamd, wa huwa ala kulli syain qadir. Demikianlah seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang dijelaskan dalam hadis Ubadah bin as-Samit - Riwayat oleh al-Bukhari. Kemudian hendaklah bersugi.

Menurut sebuah hadis Ibn Abbas, Rasulullah s.a.w. ketika terjaga, menyapu mukanya dengan tangannya, kemudian membaca sepuluh ayat terakhir dalam surah Ali-Imran - Hadis riwayat Muslim. Dalam hadis lain dijelaskan bahawa apabila terjaga pada waktu malam baginda membersihkan mulutnya dengan kayu siwak - Muttafaq alaih.

3. Dalam sebuah hadis daripada Aishah r.a. dijelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila terjaga daripada tidur, memulakan sembahyangnya dengan dua rakaat yang ringan - Riwayat Muslim.

4. Disunatkan melakukan tahajud di rumah, kerana baginda berbuat demikian.

5. Mudawamah iaitu terus-menerus melakukan ibadah qiamullail tanpa putus. Disunatkan bagi seseorang itu melakukan sembahyang dengan rakaat-rakaat tertentu, yang dilakukan berterusan. Andainya dia dalam keadaan segar, lakukan dengan banyak dan panjang, andainya tidak, permudahkan.

6. Andainya seseorang itu terjaga, tetapi masih mengantuk, dia hendaklah tidur sehingga hilang mengantuknya. Hal demikian dilakukan berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Aishah r.a. dinyatakan bahawa Nabi s.a.w. ada bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk ketika sembahyang, dia hendaklah tidur, sehinggalah hilang mengantuknya.

Walaupun demikian perlu difahami, bahawa tidur yang dilakukan itu adalah semata-mata untuk menghilangkan mengantuknya, bukan terus tidur sehingga pagi hingga menyebabkan tidak dapat beribadah pada waktu malam. Pada malam berikutnya ia mengalami hal yang sama, lalu tertidur sehingga pagi. Sesungguhnya syaitan itu mengikat tiga ikatan pada kepala seseorang hamba ketika tidur dan berkata, tidurlah. Malammu panjang.

Apabila seseorang itu terjaga daripada tidurnya lalu menyebut nama Allah, maka terhurailah satu ikatan. Dan apabila ia berwuduk, maka terhurailah ikatan yang kedua, dan apabila ia bangun mendirikan sembahyang maka terhurailah ikatan ketiga, lalu ia menghadapi pagi dengan keadaan sihat dan cergas. Andainya tidak, ia akan menghadapi pagi dengan malas lagi monyok.

Terlalu banyak adab ibadah pada waktu malam yang perlu difahami dan dihayati dalam usaha memperoleh maqam yang tinggi hasil daripada ibadah tersebut.

Oleh kerana amalan qiamullail itu besar manfaatnya, maka godaannya juga besar, iaitu daripada iblis dan syaitan yang sentiasa menyekat manusia daripada beribadah kepada Allah, selain tabiat semula jadi manusia yang memerlukan pengorbanan, pemahaman dan kesedaran dalam usaha melakukan kebaikan.

Tuesday, June 24, 2008

Program Rakan Masjid


Satu program anjuran Jawatankuasa Surau Al-Falah akan diadakan pada 28 dan 29 Jun 2008 di surau Al-Falah. Berikut adalah maklumat tentang program tersebut:



Program Rakan Masjid
Tempat: Surau Al-Falah, Kampung Melayu Batu 8,Ulu Kinta, Perak Darul Ridzuan
Tarikh: 28 dan 29 Jun 2008
Anjuran: Jawatankuasa Surau al- Falah
Yuran pendaftaran: RM 3 seorang peserta
Objektif program ini diadakan adalah untuk mendekatkan golongan remaja dengan masjid disamping memberikan pengisian rohani kepada remaja. Selain daripada itu, program ini juga bermatlamat untuk melahirkan generasi remaja yang berakhlak mulia serta menerapkan penghayatan solat dalam diri remaja.
Program ini terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan yang berumur 11 tahun sehingga 14 tahun.
Antara tentatif atau aktiviti yang akan dijalankan adalah:
Sabtu,28 Jun 2008 ( peserta lelaki )

6.oo petang

  • Pendaftaran peserta lelaki
  • Makan Malam

7.20 petang

  • Solat Maghrib
  • Kuliah Maghrib
  • Solat Isya'

9.00 malam

  • Taaruf

9.45 malam

  • Aktiviti dalam kumpulan

10.45 malam

  • Kudapan

11.15 malam

  • Slot refleksi diri

11.45 malam

  • Tidur

Ahad,29 Jun 2008

4.50 pagi

  • Bangun
  • Qiamulail

5.55 pagi

  • Solat Subuh
  • Kuliah Subuh

7.30 pagi

  • Riadah
  • Gotong-royong

8.00 pagi

  • Sarapan

8.30 pagi

  • Wida'
  • Peserta lelaki bersurai

9.30 pagi

  • Pendaftaran peserta perempuan

10.30 pagi

  • Sesi Taaruf

12.00 tengahari

  • Makn tengahari

1.00 petang

  • Solat Zohor

2.00 petang

  • Latihan dalam kumpulan

3.00 petang

  • Tayangan video

4.30 petang

  • Solat Asar

5.15 petang

  • Bersurai
Bagi ibu bapa dan para pelajar yang berminat untuk menyertai program ini adalah amat di alu-alukan. Sebarang pertanyaan boleh di rujuk kepada:
Saudara Rafiq( 019-90736050)
Saudara Zafran ( 019-5273998 atau 017-9216125)
Sekian, terima kasih...